Pages

Friday 13 September 2013

Perutusan Awal Semester, Pesanan Untuk Rakan-Rakan Yang Di ingati Khas Untuk Yang Masih Belajar..

Alhamdulillah kerana kita masih diberi peluang untuk meneruskan pengajian setelah bercuti panjang baik rakan yang berada diluar negara mahupun didalam negara. Peluang yang masih ada ini harus dimanfaatkan sebaiknya kerana bukan semua bernasib baik seperti kita. Ramai di luar sana yang masih mengharapkan peluang keemasan seperti ini namun rezeki masih belum berpihak kepada mereka.

Gambar hiasan
Semester sebelum ini, mungkin ada sahabat yang mendapat keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan tetapi janganlah jadikan ia sebagai suatu yang melemahkan diri sendiri. Mulakan semester ini dengan niat dan impian yang baru. Sebelum ini kita gagal, tetapi untuk kali ini usahakan supaya lulus. Bagi yang lulus pula, usaha supaya mendapat anugerah dekan (AD), yang AD pula, jadikan '4 flat' sebagai impian. Walaupun kita merasakan agak sukar untuk memenuhi impian tersebut tetapi semuanya tidak mustahil kerana mungkin hari ini kita gagal tetapi esok belum tentu. Kita hanyalah merancang dan sebaik-baik perancang adalah Allah SWT.

Jikalau ada sahabat yang gagal sehingga terpaksa 'extend' atau 'dismiss', anda sebenarnya tidak perlu kecewa. Walaupun anda terpaksa 'extend' satu semester contonhya, sila teruskan pengajian sehinggalah tamat pengajian. Menuntut ilmu ini ibarat larian marathon tetapi tiada pemenang. Semua diantara kita menuju ke garisan penamat yang sama. Kudrat dan pemikiran kita tidak sama antara satu sama lain. Ada yang pikap dan ada yang perlahan namun matlamat kita ialah wajib sampai ke garisan penamat walaupun mengambil masa yang lama. Tiada istilah 'tua' atau 'muda' dalm menuntut ilmu.

Kepada yang dismiss, anda harus faham sebenarnya ilmu ini bukan sahaja di universiti, tetapi ditepi-tepi jalan pun banyak ilmu yang boleh dikutip. Ramai yang berjaya walaupun tanpa ke universiti. Ilmu di universiti pada asalnya, ilmu yang berada di merata-rata tempat termasuk ditepi jalan maka untuk memudahkan rujukan, ilmu ini dikumpul dan dibukukan serta diletakkan disuatu tempat iaitu universiti.

Di samping itu kepada yang mahu berpolitik, berNGO, berpesatuan, berdakwah, berkahwin, berceloteh, bekerja dan apa-apa yang ber..... sila teruskan apa yang anda minati seperti yang saya sebutkan diatas asalkan anda pandai membahagi masa antara belajar dengan perkara-perkara tersebut. Sebelum ini pasti anda pernah mendengar nasihat 'tak perlu lah nak aktif dalam itu ini, janganlah asyik nak berpolitik, janganlah kahwin lagi, belajar dulu biar habis'. Sejujurnya bagi saya nasihat itu adalah karut, mereka ini beranggapan kebanyakan pelajar akan gagal bila sibuk dengan pelbagai aktiviti. Sebenarnya itu bukan faktor kegagalan kerana ramai juga yang berjaya walaupun sibuk tetapi ramai juga yang gagal walaupun lapang. Persoalannya ialah samada anda belajar atau tidak. Ketuk kepala lutut tanya diri sendiri.

Kepada rakan-rakan yang masih berada diluar negara, inilah peluang untuk anda bukan sahaja menuntut ilmu akademik tetapi juga melihat sistem sosial, ekonomi, politik dan sebagainya untuk di cedok dan dibawa pulang ke negara kita. Tidak mustahil suatu hari nanti anda ditakdirkan untuk mengantikan Dato Seri Najib atau menjadi isteri kepada Perdana Menteri khusus untuk sahabat wanita dan ketika inilah masanya untuk memperaktikan apa yang anda lihat demi kebaikan rakyat. Walaupun anda belajar di negara bukan Islam sekalipun seperti Jepun tetapi jika dasar itu baik untuk negara tiada masalah untuk kita menirunya. Malah Saidina Umar Al-Khattab melaksanakan sistem kementerian yang ditiru daripada Rom dan Parsi.

Dunia pada hari ini seolah-olah seperti milik orang muda. Hampir semua kebangkitan rakyat baik dari aspek sosial, politik dan ekonomi dicetuskan oleh orang muda. Orang tua hanya sebagai penunggu yang menantikan idea-idea orang muda. Di waktu inilah anda sebagai mahasiswa atau mahasiswi seharusnya menggunakan 'platform' yang ada samada di dalam atau di luar kampus untuk turut serta merasai perubahan dan pada masa sama mengetengahkan idea-idea yang ada. Janganlah tunggu sehingga tua baru mahu mencelik mata, kerana ia merugikan ditambah pula dengan kudrat yang lemah.

Akhir kalam ini, oleh kerana sahabat semua adalah generasi muda dan yang akan mencebur diri dalam bidang pekerjaan, masyarakat dan sebagainya, jika saudara saudari menjadi doktor, jadilah doktor yang berintegriti dan amanah, begitu juga jurutera, akauntan, tukang masak, pensyarah, ahli politik, tukang kebun dan sebagainya. Jadikanlah pekerjaan itu sebagai ibadah semoga mendapat keberkatan. Pada masa sama letakkanlah Islam sebagai asas utama kerana inilah panduan segala-galanya. Islam diturunkan untuk semua kaum bukan sahaja Melayu tetapi Cina, India, dan kaum-kaum yang lain.

Wassalam

No comments:

Post a Comment