Pages

Sunday 15 September 2013

Cadangan Ketua Ulama Pas Pusat kebelakang, adakah Pas Ikhlas Dalam Pakatan Rakyat?




Dato Harun Taib

Cadangan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Dato Harun Taib agar parti Pas mengkaji semula tahalul siyasi atau kerjasama politik dengan parti PKR telah menhangatkan lagi suasana dalaman parti Pas. Beliau dilaporkan mengemukakan cadangan itu ketika merasmikan Mutlaqa Ulamak se-malaysia yang berlangsung di Kedah hari ini 14 September 2013.

Katanya kerjasama dengan PKR telah banyak melemahkan parti Pas dan merosotnya sokongan pengundi melayu terhadap Pas. Walaupun ia hanya bersifat cadangan namun cadangan ini boleh mencorakkan pemikiran ahli pas atasan dan bawahan. Sudah pasti ia akan mewujudkan dua kontradiksi yang berbeza samada menyokong atau menentang. Saya melihat cadangan ini tidak wajar kerana seolah-olah Pas telah terkebelakang dan meletakkan kesalahan itu pada pihak lain tanpa mengemukan bukti yang kukuh. Pas seharusnya melihat kelemahan yang ada pada diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain.

Kewujudan Pas dalam arena politik tanah air sudah menjangkau 63 tahun dan tidak dinafikan Pas boleh dianggap sebagai antara parti yang paling kukuh dari segala aspek baik jentera dan sokongan. Arus politik pasti berubah mengikut peredaran zaman dan begitu juga dengan corak pemikiran rakyat. Di sinilah Pas perlu melakukan transformasi supaya selari dengan peredaran masa bagi mendepani isu-isu semasa dan sekaligus mendapatkan sokongan rakyat.

Pas seharusnya kembali melihat sejarah, pada tahun 1998 dimana ketika itu negara ini digemparkan dengan pemecatan serta kezaliman yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim. Semua masyarakat baik Melayu, India, dan Cina bersatu menentang kezaliman dan ketidakadilan. Satu pakatan yang diberi nama Barisan Alternatif (BA) yang terdiri daripada PAS, DAP, PKR dan PRM telah berjaya dibentuk untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilhanraya ke 11 tahun 1999, Hasilnya pada pilihanraya ini, Pas berjaya menawan Terengganu dan mengekalkan Kelantan. Selain itu BA juga berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di Kedah dan menambah kerusi di Parlimen dan Dun di negeri-negeri lain. Semua tidak mampu menafikan bahawa sokongan yang diterima ini adalah angkara faktor Reformasi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim.

Namun malangnya pada pilihanraya 2004, kerajaan Pas Terengganu tumbang dan Pas di Kelantan hilang majoriti 2/3. Keadaan ini telah mewujudkan suasana genting di sana. Pas sering menjaja cerita berlakunya rasuah undi dan kemasukan pengundi hantu besar-besaran sehingga menyebabkan Pas di Terengganu tumbang. Walaupun tidak dinafikan perkara ini berlaku tetapi Pas seharusnya melihat banyak kelemahan yang wujud sepanjang pentadbiran mereka di Terengganu. Jikalau Pas berjaya meyakinkan rakyat dengan dasar pentadbiran yang baik, Insyaallah Pas tidak akan tumbang walaupun diasak kiri dan kanan oleh BN.

Kenapa saya berkata sedemikiaan, contoh mudah yang ingin saya kemukakan ialah di Selangor dan Pulau Pinang. Sebelum pilihanraya umum ke-13 kedua-dua negeri ini diasak cukup hebat sehinggakan kita melihat Umno-Bn sudah pasti akan kembali berkuasa. Siang malam dihentamnya, ditambah pula dengan sebotaj isu air dan isu melayu terpinggir di Pulau Pinang. Pada masa sama, ruang untuk menjawab ditutup rapat. Serengan hebat ini tidak berlaku di Kedah namun tiada siapa sangka akhirnya kerajaan Selangor yang dikuasai dominan oleh PKR dan Pulau Pinang oleh Dap berjaya mengekakalkan tampuk kuasa. Sebaliknya Kedah di bawah Pas tumbang. Adakah kita masih boleh menyalahkan PKR dan Dap kerana tumbangnya Kedah? Seharusnya apa yang berlaku samada menang atau kalah, ia perlu menjadi tanggungjawab bersama. Sama-sama gembira, sama-sama dukacita.

Selain itu Pas terutamanya golongan ulama perlu memahami bahawa politik adalah seni untuk memikat hati rakyat. Tanpa rakyat, politik dan kekuasaan tidak akan wujud. Bagaimana kita boleh berkuasa sedangkan kita seorang diri di dalam hutan. Tidak dinafikan Islam itu syumul merangkumi semua aspek dari segi ekonomi, muamalat, munakahak, sosial, masyarakat dan segalanya. Justeru itu, agenda ekonomi dan sosial juga perlu dijuarai dengan mengemukakan pandangan atau manifesto untuk kebaikan rakyat. Di sini kita dapat melihat bahawa Keadilan dan Dap agak kehadapan berkaitan isu-isu tersebut contohnya tawaran sistem pendidikan percuma, penurunan minyak serta harga kereta, menurunkan harga rumah, panghapusan akta yang menindas dan banyak lagi. Sebenarnya tawaran inilah yang banyak membuka mata masyarakat untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Namun kita juga tidak menafikan peranan Pas dalam PR, Pas juga diperlukan dengan konsep Islamnya supaya menjadi petunjuk agar tidak terpesong dari landasan. Dengan erti kata lain, agama dan duniawi tidak boleh dipisahkan.

Disamping itu jika cadangan ini dipersetujui, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan kepercayaan umum terhadap Pas. Kesannya boleh membawa kehilangan kepada kerusi-kerusi bandar yang dimenangi atas sokongan pengundi bukan melayu. Masyarakat akan melihat Pas tidak konsisten terhadap perjuangan bila mana tewas, barulah hendak bercakap atas soal kerjasama. Selain itu Pas juga tidak mampu untuk berdiri sendiri apatah lagi untuk membentuk kerajaan kerana pola penduduk malaysia terdiri hanya lebih kurang 55% Melayu. Persoalan disini ialah adakah Pas akan bertanding di kawasan bukan Melayu. Nasihat saya ialah Pas perlu mendalami politik negara Islam lain seperti tahulul siyasi yang dilakukan oleh gerakan Islam antaranya Ikhwan Muslimin, Ennahda, AKP dan sebagainya.

Cadangan Dato Harun ini sebenarnya bertentangan dengan pandangan Tok Guru Nik Aziz yang melihat tahalul syiasi dengan PKR telah memberi ruang baru kepada PAS sendiri untuk memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam. Orang bukan Islam hari ini jauh memahami Islam sejak wujudnya tahalul siysi berbanding sebelum ini.

Jikalaulah Pas benar-benar mahu keluar berkerjasama dengan PKR,nasihat saya sekali lagi, Pas seharunya berundur terus dari medan politik dan boleh menumpukan usaha dakwah sahaja. Hilangnya Pas tidak mustahil akan wujudnya parti baru yang boleh membawa Islam malah mungkin lebih baik dari apa yang Pas lakukan. Pemimpin-pemimpin yang sudah tidak berdaya saing dan sering kali mengemukakan idea lapuk sudah tiba masanya berundur. Ulama tidak semestinya arif tentang politik, begitu juga profesional tidak semestinya jahil tentang agama. Inilah pentingnya kefahaman konsep ulama dan umara. Harapan saya ialah Pas, PKR dan Dap perlu memperkukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan misi kita yang utama ialah tumbngkan Umno-Bn. Selagi Umno-Bn tidak ditumbangkan selagi itulah kegelapan memayungi diri ini.