Pages

Thursday 12 September 2013

PTPTN, cukup atau tidak. Perlukah mereka di bantu? Bagaimana caranya?

Saya tidak terlalu arif dengan kadar pinjaman yang diberikan oleh kerajaan kepada pemegang PTPTN. Mungkin ia berbeza mengikut IPT atau jurusan yang dipilih. Walaubagaimanapun itu bukan persoalanya kerana yang ingin dicelotehkan disini samada cukup atau tidak wang yang diperuntukkan kepada pelajar.

Menurut seorang teman, pelajar Ijazah Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Uitm. Setiap semester, mereka diperuntukkan sebanyak RM3500. Daripada jumlah ini, RM500 ditolak untuk yuran, dan RM1200 untuk sewa dan utiliti rumah. Bakinya hanya tinggal RM1800 untuk perbelanjaan harian. Berbeza pula dengan seorang pelajar UTEM dimana yuran pengajianya mencecah RM2000 dan baki yang tinggal hanyalah RM1500. Ini belum ditolak dengan kos sewa rumah dan sara diri.

Baki yang selebih inilah yang digunakan untuk makan, minum, rokok, buku, minyak kenderaan dan sebagainya. Jikalau dibandingkan dengan kos hidup yang semakin meningkat terutamanya di bandar-bandar besar, sudah tentu baki yang ada ini cukup-cukup makan sahaja. Bagi golongan yang amat berjimat cermat seperti tidak merokok, bukan kaki rayau, bukan kaki beli, dan hanya membonceng motosikal tanpa menghulurkan duit minyak, mungkin ia tidak menimbulkan masalah bagi mereka.

Melihat suasana pelajar yang hanya makan Maggi dan nasi yang berlaukkan telur serta kicap adalah perkara normal. Mereka ini bukan tidak pandai memasak tetapi menyahut seruan pemimpin tertinggi negara yang menggalakkan supaya rakyat berjimat cermat.

Latar belakang peminjam PTPTN berbeza antara satu sama lain, ada yang kaya, berkemampuan dan sederhana. Yang kaya dan berkemampuan tidak menjadi masalah jika kekurangan kewangan tetapi bagaimana pula mereka yang daripada golongan sederhana.

Sebenarnya inilah masa untuk golongan yang berkemampuan samada yang mendapat biasiswa atau dari keluarga yang berada untuk memberi sedikit khidmat bantuan bagi meringankan beban mereka. Ada yang bertanya, adakah kita harus belanja mereka makan setiap hari atau sekali sekala?

Tiada masalah untuk kita belanja mereka makan di warung kerana ia merupakan satu amal yang baik tetapi mustahil untuk kita belanja mereka setiap hari. Sebenarnya belanja makan adalah satu bantuan bersifat 'one-off' kerana ia bukan berterusan. Kenyang pada waktu itu sahaja tetapi keesokannya adakah masih ada insan yang sudi belanja lagi. Begitu juga dengan bantuan rakyat 1 Malaysia (BR1M), wang hanya diberikan pada ketika itu sahaja dan yang mendapat untung adalah peniaga. BR1M sebenarnya tidak menjana ekonomi negara apatah lagi untuk mengurangkan beban rakyat kerana apabila habis wang RM200 di belanjakan maka terkontang kantinglah rakyat. Ini sebab ia digelar sebagai 'one-off' kerana tidak cukup untuk perbelanjaan sekurang-kurangnya selama sebulan.

Oleh sebab kelangsungan itu penting maka saya mencadangkan supaya yang berkemampuan itu mengeluarkan sedikit wang untuk perbelanjaan barangan dapur. Contohnya kita membeli tepung, bawang, rempah, sos, gula, garam dan beras. Barangan ini kita sedekahkan untuk kegunaan bersama dan ia mampu bertahan sehingga dua minggu malah boleh mencapai satu bulan. Pasti yang tidak berkemampuan angkara kesempitan wang PTPTN boleh merasai nikmatnya secara berterusan. Malah kosnya jauh lebih efisyen berbanding sistem 'one-off' yang dijelaskan diatas.

Selain itu, kita juga boleh membeli barangan seperti nescafe 3 in 1, paket maggi, roti serta biskut dan meletakkan di suatu sudut. Untuk menghebohkan kepada 'housemate' bahawa barangan ini adalah milik semua, boleh diletakkan label seperti "makanan ini bukan Rosmah yang punya tetapi rakyat yang punya, siapa mahu silakan, jangan segan".

Membantu dan menderma kepada golongan yang memerlukan adalah tanggungjawab kita bersama. Bantulah sekadar yang termampu kerana orang yang suka menderma ini akan memperoleh banyak kelebihannya malah seorang pelacur yang memberikan air kepada seekor anjing yang kehausan diampunkan dosanya apatah lagi jikalau membantu seorang manusia.

Sabda Rasulullah S.A.W
"Bersedekahlah kamu sekalian meskipun dengan sebiji tamar. Sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan menghapuskan kesalahan sebagaimana air dapat memadamkan api".

No comments:

Post a Comment