Pages

Thursday, 12 September 2013

PTPTN, Awalnya Kegembiraan Tetapi Akhirnya.......

disebalik tabir IPTS
Anak dara comel, dan sopan santun pasti menjadi igauan kepada jejaka yang belum berpunya mahupun yang sudah untuk dijadikan teman hidup. Ketika di malam pertama dan awal perkahwinan si suami pasti 'senyum sokmo' kerana nikmatnya di alam baru. Namun setelah jauh melayari bahtera dan disebalik kecantikan itu pasti ada kelemahan serta kekurangan dan jika bernasib baik, tiada kekurangan yang timbul.

Begitulah analogi mudah untuk mengambarkan PTPTN. Ketika di awal semester, kita sering mendengar 'eh duit dah masuk la, hari ini aku belanja makan'. Betapa gembiranya mereka ini sehingga membelanja rakan-rakan. Tahukah anda sebenarnya itu hanyalah duit hutang. Akhirnya setelah bergelar graduan, pasti anda akan diburu. Jikalau anda bernasib baik pasti hutang dilupuskan dan begitu juga kalau anda sudah mendapat kerja, pasti tidak menjadi masalah untuk melangsaikan hutang. Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang belum mendapat kerja?

Sebelum pilihanraya umum baru-baru ini, Pakatan Rakyat telah menawarkan pendidikan percuma dan penghapusan hutang ptptn jika diberi mandat. Walaubagaimanapun tawaran ini ditolak oleh rakyat kerana pendapatan rakyat Malaysia mungkin mencecah RM10,000 sebulan. Selain itu rakyat Malaysia berpegang teguh kepada agama kerana kita sering mendengar suara merdu 'hutang wajib dibayar,berdosa jika tidak membayarnya'. Persoalannya adakah anda tetap ingin membayar hutang walaupun si pemberi ingin menghapuskan hutang anda?

Semalam peminjam PTPTN dikejutkan dengan tindakan kerajaan yang mahu menyenaraikan mereka yang gagal melangsaikan hutang ke sistem rujukan maklumat kredit pusat (CCRIS). Tindakan ini dilihat kurang bijak kerana ia akan menghalang hak mereka untuk mendapatkan pinjaman perumahan, kereta dan peribadi. Ini akan membebankan mereka ditambah pula dengan kos sara hidup yang tinggi.

Setelah tamat belajar, mereka sudah dibebankan hutang puluhan ribu sedangkan peluang pekerjaan masih belum menentu. Bagi saya tidak salah kerajaan menyenaraikan mereka ke CCRIS jikalau mereka enggan membayar hutang walaupun berkemampuan. Tetapi bagi yang belum berkemampuan, mereka tidak seharusnya disenaraikan.

Sebenarnya, isu pendidikan adalah perkara asas yang harus diutamakan, bukan kroni. Kenapa kerajaan mampu melupuskan hutang kroni Tan Sri Tajuddin Ramli berjumlah RM589 juta dan memberi subsidi kepada IPP RM19 bilion yang sedia maklum merupakan syarikat yang sudah kaya raya. Pemborosan dan ketirisan wang rakyat seperti komisen RM540 juta kapal selam juga amat mengecewakan rakyat. Sepatutnya wang itu boleh diselamatkan untuk pendidikan rakyat.

Kerajaan seharusnya menyelami derita graduan kenapa mereka tidak membayar balik PTPTN. Adakah mereka masih belum mendapat pekerjaan yang sesuai. Adakah pendapatan mereka mencukupi sedangkan keadaan ekonomi masih belum menentu. Salah satu situasi yang saya lihat ialah terlalu banyak institusi yang menyediakan jurusan yang tidak diperlukan dalam sektor pekerjaan. Mungkin kerajaan harus mengkaji semula jurusan-jurusan ini supaya pelajar tidak dianiayai dengan masa dan wang ringgit.

Walaupun kerajaan sudah menyediakan skim latihan untuk graduan menganggur tetapi sedarkah anda tidak ramai peserta ini mampu menjadi usahawan yang berjaya. Ini kerana faktor demografi dan asal usul. Orang melayu sebelum dan pasca merdeka bukan seorang peniaga. Mereka masih di kampung-kampung dengan ekonomi sara diri dan pertanian. Oleh itu kekurangan pengalaman dan tidak mahu mengambil risiko menyelubungi mereka.

Selain itu sudah tiba masanya supaya pendidikan tidak diswastakan kerana kebanyakan istitusi yang diwujudkan menyediakan tempat yang tidak selesa dan kekurangan peralatan. Saya melihat mereka ini hanya menjadikan pendidikan merupakan satu perniagaan yang menguntungkan tanpa memikirkan kualiti.

Kini tiada lagi peluang untuk pelajar melepaskan diri dari hutang PTPTN melainkan berusaha mendapatkan ijazah kelas pertama. Belajarlah bersungguh-sungguh, jangan asyik sibuk nak main facebook.

No comments:

Post a Comment