Pages

Saturday, 5 October 2013

Ekonomi Buih~Siri 2


"Bubble economy", bagaimana nak menghalang atau melambatkan?

Rakyat derita
Sebelum ini saya ada menulis tentang bagaimana ekonomi buih atau dikenali sebagai 'bubble economy' boleh menyerang negara kita berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui oleh negara lain. Tulisan sebelum ini hanyalah berdasarkan pembacaan, perbincangan dan analisis otak kepala lutut, jauh sekali melalui ilmu ekonomi kerana ia bukan bidang saya. Oleh kerana kita sebagai generasi muda yang akan mengantikan generasi tua, sudah tiba masanya untuk kita bertanggungjawab memastikan kestabilan ekonomi supaya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat samada golongan marhen atau berjouis besar.

Sudah tiba masanya kerajaan melakukan tindakan tegas untuk mengelakkan satu lagi krisis kewangan berlaku. Pertama kalinya, sistem kewangan berasaskan riba sepatutnya dihapuskan dan digantikan dengan sistem kewangan berteraskan Islam. Negara yang beramalkan dengan sistem kewangan berasaskan riba akan menghadapi kemelut kewangan. Hampir kesemua negara yang pernah mengalami krisis ekonomi yang teruk seperti Ireland, USA, Japan dan Greece kerana mengamalkan sistem ekonomi berasaskan riba.

Bahkan jika dikaji, kita akan mendapati bahawa amalan riba yang berleluasa dalam masyarakat yang menjadi faktor penyumbang utama kepada krisis yang berlaku. Dalam erti kata lain jika sesebuah negara pesat membangun namun jika ekonominya masih bertunjangkan riba, lambat laun sistem ekonominya pasti runtuh. Dalam Al-Quran jelas mengingatkan kepada kita supaya menjauhi riba, firman Allah S.W.T, maksudnya

" Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu memakan riba dengan berlipat kali ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya mendapat keuntungan".
(Al-Imran 130)

Tun Dr Mahathir pernah memperkenalkan konsep 'penerapan nilai-nilai Islam' dalam sistem ekonomi dan cara hidup pada tahun 1985. Walaubagaimanapun sistem ini masih belum menyuruh dalam aspek ekonomi dan sudah tiba masanya supaya ia dilaksanakan secara menyeluruh bukan sahaja dari aspek ekonomi malah undang-undang syariah, sosial, politik dan sebagainya.

Sebelum ini saya ada menjelaskan tentang konsep menghadkan pembelian rumah. Maksudnya disini ialah, pihak kerajaan dan pemaju perlu melihat sejauh manakah permintaan rumah disesuatu kawasan mengikut demografi serta topografi. Rumah yang dibina seelok-eloknya tidak terlalu melebihi jumlah penduduk serta keperluaan dan pada masa yang sama biarlah rumah yang dibina itu mampu dibeli oleh penduduk supaya tidak dimonopoli oleh golongan tertentu.

Konsep yang diperkenalkan kerajaan seperti 'rumah mampu milik' adalah tepat tetapi persoalannya adakah rumah tersebut dibeli oleh golongan yang memerlukan atau golongan yang ingin menjadikan rumah tersebut sebagai rumah sewa. Sebenarnya menjalankan perniagaan 'rumah sewa' bukan suatu masalah tetapi ia boleh menjurus kearah kerosakan ekonomi apabila berlakunya lambakan rumah sewa yang tidak berpenghuni. Kerajaan boleh bertindak dengan menghadkan kuota dimana satu keluarga boleh memiliki sekurang-kurangnya dua rumah. Situasi ini juga dapat mengurangkan spekulasi peningkatan harga hartanah dan mengurangkan hutang bank.


Penjanaan semula ekonomi negara sangat-sangat diperlukan sekarang ini kerana hutang negara meningkat kepada 53.3% pada akhir 2012 dan bajet difisit meningkat dari 3.8% pada 2011 kepada 4.7% pada 2012.

Hari ini negara kita dikenali sebagai antara pengeluar bahan mentah terbesar dan kaya dengan hasil bumi. Antaranya hasil hutan, balak, bijih timah, kelapa sawit, minyak, getah dan sebagainya. Sedarkah anda sebenarnya hasil ini tidak membawa keuntungan lumayan kepada negara melainkan bahan mentah ini diproses menjadi suatu produk baru.

Jikalau saudara pembaca masih belum memahaminya, saya akan membuat satu analogi mudah. Contohnya industri 'kerepek pisang' kerana mak saya pembuat kerepek jadi mudah untuk saya jelaskan disini. Untuk menghasilkan kerepek pisang, antara bahan mentah yang diperlukan ialah pisang nangka. Harga pisang nangka 1kg ialah RM1.50. Pisang nangka ini diperoleh daripada pekebun. Bagi menghasilkan 1kg kerepek pisang, maka 3kg pisang nangka diperlukan dan jumlah harganya RM4.50. 1kg kerepek pisang dijual dengan harga RM18. Oleh itu satu keuntungan berjaya diperoleh disitu oleh si pembuat kerepek dan si penjual pisang. Persoalannya jikalau si penjual pisang berjaya mendapatkan ilmu membuat kerepek dan menghasilkannya sudah tentu dia akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Beginilah konsep yang perlu dilakukan oleh negara kita. Kita harus menggunakan semaksimum teknologi yang ada untuk menjana industri produk daripada bahan mentah yang sedia ada bukan hanya meneksport bahan mentah ini keluar negara. Inilah yang dilakukan oleh sesetengah negara-negara yang tidak mempunyai hasil bumi tetapi berjaya menjadi sebuah negara maju.

Selain itu pak menteri seharusnya memikirkan bagaimana untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar hasil pertanian dan makanan dunia disamping dalam sektor industri. Ekonomi pertanian sentiasa stabil disebabkan kelangsungan manusia untuk mendapatkan bahan makanan kerana ia perkara asas dalam kehidupan.

Projek-projek yang membazir dan tender rundingan terus yang banyak merugikan wang rakyat harus dihentikan dan dikaji semula. Janganlah angkara hutang yang yang tinggi dan ekonomi merudum menyebabkan kami yang masih belum merasai nikmat berumah tangga menanggung derita.
 


No comments:

Post a Comment